ISU SEMASA

Tun Mahathir Jelaskan Punca Najib Razak Bossku Popular Di Media Sosial Sekarang

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak sepatutnya melaksanakan setiap kritikannya terhadap pentadbiran Pakatan Harapan (PH), ketika masih berkuasa.

“Kenapa ketika berkuasa dia tak buat semua perkara yang dia minta kita buat?” soalnya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

“Jika dia buat semua benda itu, dia pastinya masih menjadi perdana menteri,” kata Mahathir.

Ketika kemuncak siasatan skandal 1MDB selepas PRU ke-14, Najib dilihat mengelak daripada bersemuka dengan media.

Beberapa bulan kemudian Najib hadir dengan imej baru, antaranya mengkritik kerajaan dengan nada humor dan sindiran sehingga menggelar dirinya sebagai “Raja Troll”.

Selain itu beliau yang dianggap daripada keluarga bangsawan juga kini menggunakan imej santai dengan jenama “malu apa bossku”.

Ketika ditanya tentang perkara itu, Mahathir mengakui Najib kini meraih pengikut terutama di media sosial.

“Nampaknya dia meraih populariti di media sosial kerana dia beri banyak cerita,” katanya serta menyangkal tanggapan bahawa Najib memainkan peranan dalam kemenangan BN di PRK Cameron Highlands.

Mahathir sekali lagi mengulang dakwaannya bahawa Najib merupakan “diktator kleptokrat” ketika mentadbir negara, yang akan menahan pengkritik dan seteru politiknya.

“Tetapi (di sebalik dakwaan di mahkamah) kita benarkannya membuat ucapan, bayar bil dan sebagainya. Ini menunjukkan kita adalah kerajaan yang saksama,” katanya lagi.

Najib: Hari ini saya sudah dinobat ‘king of troll’

PRK CAMERON l Sejak BN tumbang ketika di bawah pentadbirannya selepas mentadbir negara selama enam dekad, bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menjadi aktif di media sosial.

Bidasan dan hantarannya yang sering memperlekehkan kerajaan Pakatan Harapan dan pemimpinnya di Facebook dan Twitter menyaksikan beliau kini bergelar “Raja Troll“.

Bercucap di sebuah perkampungan Felda di kubu BN di Jelai hari ini, Najib menjelaskan bagaimana beliau mendapat gelaran itu.

“Hari ini kita tak perlu nak cipta fitnah. Kita tak perlu buka kilang fitnah, kita cuma cakap dengan fakta sahaja, dengan angka sahaja.

“Sebab itulah saya hari ini sudah dinobat sebagai king of troll,” katanya.

Tun Mahathir Jelaskan Punca Najib Razak Bossku Popular Di Media Sosial Sekarang 2

Najib, yang terus mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah meskipun pelbagai pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram dilemparkan terhadapnya, berkata, beliau akan terus memperjuangkan kebenaran.

“Hari-hari saya lawan dengan fakta, bukan lawan dengan auta. Saya tak perlu nak mencari dosa.

“Orang tak takut mati ini sahaja, saya takut. Bukan sahaja mahkamah ini, mahkamah Allah lagi.

“Sebab itu kita jangan cipta fitnah, Umno tak cipta fitnah dan Umno tak akan buat janji-janji palsu yang kita tahu kita tak boleh tunaikan,” katanya yang jelas merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan yang dijadikan sasarannya.

Najib kini berdepan 38 pertuduhan berkaitan dengan 1MDB, termasuk dakwaan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan juga pecah amanah jenayah.

Sumber : Malaysiakini

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker