Terkini, Dipercayai Pemandu CX-5 yang Terlibat Adalah Pelajar Kolej Swasta dalan Lingkungan 20-an Masih Belum Ditemui

LAPORAN orang hilang yang dibuat seorang bapa membolehkan identiti pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) putih yang terjunam ke dalam laut selepas kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang, dekat Perai, dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, mangsa dikenali sebagai Moey Yun Peng, 20, yang juga penuntut kolej swasta.

Katanya, bapa mangsa membuat laporan kehilangan anak lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 5 petang tadi selepas Moey tidak pulang ke rumah, semalaman.

“Dia mendakwa anak lelakinya tidak pulang dan mungkin terbabit dengan kemalangan itu yang menyebabkan sebuah SUV terjunam ke dalam laut.

“Bapa mangsa juga memberitahu menerima maklumat daripada rakan anaknya bahawa mereka terbabit kemalangan,” katanya di sini, semalam.

Nik Ros Azhan berkata, tiga saksi bebas dan dua rakan Moey sudah tampil untuk membantu siasatan kes itu.

“Kita sudah merekodkan semua lima keterangan dan rakan mangsa mengaku terbabit dengan kemalangan itu ketika pulang daripada menghadiri parti hari jadi di Georgetown.

“Seorang saksi bebas pula berkongsi rakaman video ‘dashcam’ yang memaparkan insiden berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, operasi diberhentikan pada 7 malam tadi dan bersambung semula pada 7 pagi esok.

Sumber lain dari page Penangkini :

Satu laporan polis telah diterima di Balai Polis Perai jam 630 petang tadi daripada seorang lelaki Cina yang memaklumkan anak lelakinya, Moey Yun Peng berusia 20an tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Mungkin anaknya adalah mangsa yang memandu CX-5 berdasarkan video yang tular. Sehingga jam 7 petang tadi, mangsa masih belum dijumpai. Operasi akan disambung esok pagi.

SUMBER – HMETRO