Terjaga waktu malam, cepat-cepatlah solat tahajud. Ini kelebihannya yang perlu kita tahu

KADANG-KADANG, apabila kita terjaga daripada tidur pada waktu malam, kita pun tak tahu apa sebabnya. Biarpun masa tu tak adalah rasa nak terkucil pun ataupun haus, tapi pelik tiba-tiba saja terjaga.

Rasanya ramai yang pernah mengalami situasi ini, bukan? Kalau kita alami lagi perkara ini, apa kata kita ambil wuduk dan tunaikan solat sunat tahajud.

Bukan selalu kita tiba-tiba terjaga pun melainkan kalau orang yang dah biasa bangun malam untuk bertahajud dan lakukan amalan sunat yang lain.

Tidak salah pun kita ambil sedikit masa kita tu untuk tunaikan solat sunat tahajud ini. Inilah satu-satunya solat sunat yang boleh dilakukan apabila terjaga daripada tidur pada waktu malam, sekalipun kita hanya tidur hanya sebentar.

Waktunya juga panjang iaitu bermula waktu Isyak hinggalah terbit fajar. Namun begitu, sebaik-baik waktu adalah satu pertiga malam yang terakhir iaitu kira-kira jam 3 pagi hingga ke fajar.

Mudah saja sebenarnya yang tunaikan solat sunat ini. Dirikanlahnya sekurang-kurangnya dua rakaat secara bersendirian atau seberapa yang mampu.

Rugi tau kalau kita tak buat. Ini kerana ada banyak kelebihan dan fadilat solat tahajud yang bukan calang-calang. Antaranya:

1. Mendapatkan pengawasan ALLAH SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan pada wajah.

2. Dikasihi para ahli ibadah dan orang-orang Mukmin.

3. Percakapan individu tersebut mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.

4. Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar kelak.

5. Dipermudahkan hijab ke atasnya.

6. Senang melalui titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.

7. Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.

8. Jauh daripada kebinasaan.

Subhanallah, begitu besar kelebihan yang bakal diperoleh kepada mereka yang mengerjakan solat tahajud ini.

Jom apa kata kita cuba buat. Mula-mula memang payah dan rasa berat je nak buat. Lama-lama nanti kita mungkin rasa seronok nak solat tahajud ni.

Sumber: Facebook Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia