ISU SEMASA

Sultan Perak, Sultan Nazrin pangku jawatan YDP Agong

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini memutuskan supaya Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh sumber terdekat kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat yang dihadiri enam daripada sembilan Sultan di Istana Negara di sini.

Sultan-sultan yang hadir mesyuarat lebih satu jam itu ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajudin Syed Putra Jamalullail; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir; Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah; dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Shah.

Pada mesyuarat tersebut, keenam-enam Sultan turut menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas majlis memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16. Bagaimanapun, sumber memaklumkan butiran lanjut berkenaan mesyuarat hari ini akan dimaklumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sumber: Astro Awani

Sebelum ini, Sultan Nazrin tamat tugas memangku Yang di-Pertuan Agong.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini berangkat meninggalkan Istana Negara selepas menamatkan tugas memangku Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, sebelum itu berkenan menghadiri Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sebelum pasangan diraja berkenaan meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira jam 5 petang.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja dimulakan dengan bacaan warkah menjunjung kasih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Istiadat diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, kepada pasangan diraja itu.

Keberangkatan pulang baginda berdua ke Istana Hinggap Perak di sini diiringi lambaian 500 pegawai dan warga kerja Istana Negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan isteri, Datin Seri Hamidah Osman, mengiringi keberangkatan baginda berdua.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sejurus tiba di Istana Hinggap Perak, panji peribadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong diturunkan oleh lapan anggota tentera diketuai Staf Sarjan Mohd Shaiful Abdul Rashid.

Panji terbabit dilipat dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Istiadat di Istana Perak diakhiri dengan upacara menaikkan panji peribadi Sultan Perak.

Pada 2 November lalu, Sultan Nazrin Shah menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sehingga hari ini. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker