Subhanallah, Cuaca Sejuk yang Melampau Melanda Amerika Syarikat. Rakyat Malaysia Ini Ceritakan Apa Sebenar Terjadi disana Sebenarnya

“SEBAIK sahaja mendapat info berhubung cuaca sejuk melampau bakal berlaku minggu lalu, saya dan tiga lagi rakan serumah segera ke pasar raya terdekat untuk membeli bekalan makanan.

“Ini kerana semua penduduk di kawasan Michigan dinasihatkan berada di rumah masing-masing dan premis perniagaan pula ditutup ekoran fenomena Polar Vortex yang melanda seluruh Midwest, Amerika Syarikat (AS) bermula Rabu lalu,” kata Muhammad Syafiq Shaharuddin, 22.

Pelajar tahun tiga, jurusan Psikologi itu adalah antara 80 penuntut Malaysia yang menuntut di Michigan State University (MSU), AS.

Muhammad Syafiq berkata, Michigan adalah antara kawasan yang terjejas akibat fenomena Polar Vortex atau turut dikenali sebagai pusaran kutub dengan suhu turun sehingga negatif puluhan darjah Celsius dan di seluruh Midwest, tiupan angin menjadikan suhu turun sehingga -53 Celsius.

Katanya, cuaca sejuk melampau sebenarnya sudah dirasai sejak Isnin lalu tetapi ketika itu suhu yang direkodkan hanya sekitar -5 darjah Celsius sahaja.

“Namun, pada hari Selasa ia semakin buruk dan menyebabkan pihak universiti terpaksa membatalkan semua kelas selama dua hari iaitu pada Rabu dan Khamis.

“Sepanjang dua hari itu, semua penuntut dinasihatkan berada di kediaman masing-masing atas faktor keselamatan memandangkan salji sudah melebihi paras lutut selain angin kuat.

“Alhamdulillah, hari ini (Jumaat) cuaca semakin baik, angin juga tidak sekuat dua hari lepas dan kebanyakan premis perniagaan serta universiti juga sudah dibuka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, tadi.

Menurut Muhammad Syafiq, dia bersyukur kerana sepanjang dua hari ‘berkurung’ di rumah, bekalan elektrik, talian telefon mahu pun internet berfungsi seperti biasa.

Ini membolehkan dia dan penuntut Malaysia lain di sekitar Michigan memaklumkan perkembangan terkini keadaan di sana kepada keluarga masing-masing di tanah air.

Ini kerana kata Muhammad Syafiq, keluarga terutama ibu dan ayahnya gusar ketika mengetahui fenomena berkenaan dan menghantar pesanan ringkas setiap hari untuk bertanyakan perkembangan keadaan di sana.

“Hati ibu dan ayah mana yang tidak risau bila mendengar berita mengenai fenomena cuaca sejuk melampau itu, mujurlah talian telefon dan internet berfungsi seperti biasa, jadi bolehlah saya menghubungi keluarga.

“Kami (pelajar di MSU) dan rakan di Universiti of Michigan juga saling berhubung dengan pihak Education Malaysia di Chicago bagi mengetahui perkembangan terkini,” katanya.

Muhammad Syafiq berkata, cuaca sejuk melampau yang dihadapi penduduk di sekitar Michigan itu juga dikatakan antara yang terburuk direkodkan sejak beberapa tahun lalu.

Sumber Artikel: HMETRO ONLINE

AIR PANAS BERTUKAR MENJADI DEBU AIS TIDAK SAMPAI 1 SAAT ..