Alhamdulillah, 10 JUTA keping topeng muka akan diagih secara PERCUMA

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengagihkan 10 juta keping topeng muka yang telah ditempah dari China kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya mengeluarkan peruntukan untuk membeli penutup hidung dan mulut dengan segera.

“Saya difahamkan harga penutup hidung dan mulut itu lebih RM1.18 sekeping. Walau apa pun, kerajaan tetap akan bawa masuk.

“Kami juga bersetuju untuk mengagihkan penutup hidung dan mulut itu kepada seluruh rakyat Malaysia yang memerlukan.

“Ini merupakan sumbangan kerajaan kepada rakyat,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin telah mengarahkan dua menteri kanan, Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Fadillah Yusof untuk berbincang dengan pihak pengeluar supaya harga penutup hidung dan mulut dijual pada harga yang berpatutan.

Kilang-kilang tempatan yang telah dihalang untuk mengeksport diminta meneruskan pengeluaran penutup hidung dan mulut untuk pasaran domestik.

Katanya, kapasiti pengeluaran penutup muka dalam negara adalah kira-kira dua hingga tiga juta keping sebulan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tindakan hospital swasta mengenakan caj di antara RM500 hingga RM600 bagi setiap ujian saringan Covid-19, Muhyiddin berkata, kerajaan sendiri menanggung kos kira-kira RM700 bagi setiap kit.

Dengan itu, beliau berpendapat harga yang dicaj oleh hospital swasta berkenaan masih berpatutan.

“Kerajaan sendiri mengeluarkan kos sebanyak RM700 untuk satu kit ujian saringan Covid-19. Anda memang tidak perlu membayar kerana keseluruhan kos sudah ditanggung kerajaan.

“Jadi, jika hospital swasta mengenakan caj RM500-RM600, saya rasa masih berpatutan. Kalau sudah sampai RM1,000 mungkin terlalu mahal. Saya rasa hospital swasta juga mempunyai tanggung jawab sosial untuk menghadapi krisis ini,” katanya lagi.