ISU SEMASA

Trafik sesak, ribuan pengguna masih nak lalu Jambatan Pulau Pinang

Beribu-ribu pengguna masih mahu meninggalkan pulau menuju ke tanah besar menggunakan Jambatan Pulau Pinang walaupun polis mempergiatkan sekatan jalan raya.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memasuki hari keenam, ribuan kenderaan masih menggunakan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari pusat bandar menuju ke jambatan, pada Isnin.

Disebabkan setiap pemandu yang ingin menaiki jambatan itu perlu menjawab soalan yang diajukan pihak polis dan tentera, maka berlakulah kesesakan lalu lintas yang teruk.

Sekatan jalan dilakukan di tengah-tengah, di antara persimpangan jambatan-Bayan Lepas.

Mana-mana pemandu yang tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyeberang dari Pulau Pinang ke tanah besar tidak dibenarkan menggunakan jambatan itu.

Bagaimanapun, beberapa kereta dilihat dibenarkan untuk menyeberang.

Seorang staf sebuah organisasi penyelidikan di Batu Maung berkata dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama hampir dua jam.

“Biasanya, saya hanya mengambil masa 30 minit untuk tiba di tempat kerja,” katanya, sambil menambah bahawa dia hanya tiba di pejabatnya pada pukul 10.40 pagi.

Seorang lagi pengguna, K. Ganesh berkata dia melihat polis melakukan pemeriksaan teliti terhadap setiap pemandu yang mahu menyeberang.

“Saya tengok beberapa kereta dengan plat pendaftaran Johor, Melaka dan Perak menuju ke jambatan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata sekatan jalan raya itu tidak bertujuan menyusahkan kehidupan orang ramai tetapi untuk memastikan bahawa PKP dipatuhi.

“Kami berharap agar orang ramai boleh mematuhi peraturan dan menahan diri daripada pergi mana-mana tanpa sebab yang sah.

“Duduk di rumah. Mungkin dengan melakukannya, sekurang-kurangnya kita dapat meminimumkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button