ISU SEMASA

“Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin” – Tun Mahathir

Ketika membangkitkan mengenai kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Israel adalah sebuah negara penjenayah yang wajar dikecam.“

“Saya mohon kepada mereka yang bersimpati dengan perjuangan masyarakat Palestin agar  menyuarakan kecaman mereka. Keganasan bukanlah satu jawapan. Satu Strategi yang betul diperlukan untuk memberikan keadilan kepada rakyat Palestin,” kata Perdana Menteri dalam satu posting di blognya pada Isnin.

"Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin" - Tun Mahathir 2
Tunjuk perasaan dalam memperingati pembunuhan Mustafa Tamimi, Nabi Salih, Tebing Barat (16 Disember 2011). (Foto: Oren Ziv)

Dalam satu tulisan yang agak keras bertajuk ‘A Genocidal State’, Dr Mahathir berkata, seluruh dunia dapat melihat ketidakadilan dan penindasan yang dilakukan Israel terhadap Palestin tetapi Israel tidakpun  dikritik oleh mereka yang bercakap mengenai kebebasan dari ketidakadilan dan ‘kedaulatan undang-undang’.

“Israel seperti ada hak istimewa. Jika ada pihak mengkritik Israel ataupun holocaust, dia akan terus dilabelkan sebagai anti Yahudi. Memberi implikasi orang itu tidak berperikemanusiaan ataupun tidak bermoral.Tetapi tindakan tidak berperikemanusiaan secara terang-terangan yang dilakukan Israel tidak dikutuk,” katanya.

Malaysia bukan anti-Yahudi atau anti-Semitik, kata beliau, sambil menyatakan orang Arab juga adalah kaum Semitik.

“Tetapi kita berhak untuk mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan di mana-mana, oleh sesiapa sahaja. Kita telah mengutuk rakyat Myanmar atas perbuatan mereka terhadap Rohingya. Kita mengkritik banyak negara dan orang atas perbuatan tidak berperikemanusiaan.

"Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin" - Tun Mahathir 3
Dr Mahathir selar Suu Kyi dalam isu pembunuhan beramai-ramai tentera Myanmar ke atas Muslim Rohingya. (Foto: AFP)

“Ramai orang dan banyak negara telah mengutuk kita. Tetapi kita tidak pernah dilabelkan atau melabel orang yang bersuara perkara benar dalam dunia yang bebas,” kata Dr Mahathir.

Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa telah membatalkan hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan pada 29 Julai hingga 4 Ogos di Kuching selepas Malaysia menyatakan pendirian tidak akan membenarkan atlet Israel menyertainya.

"Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin" - Tun Mahathir 4
Bendera Malaysia berkibar megah di Gaza sebagai tanda penghargaan penduduk negara itu terhadap keputusan Malaysia mengharamkan kemasukan atlet Israel.

“Malaysia halang dua atlet Israel – AS mengharamkan rakyat lima negara Islam dan merancang untuk membina tembok menghalang rakyat Amerika Selatan.

“Hungary, Poland dan Republik Czech mengharamkan kemasukan pelarian. Perdana Menteri Hungary Viktor Orban merujuk pelarian Syria sebagai ‘Muslim Penceroboh’,” katanya merujuk situasi sekarang yang tidak munasabah.

Menyedari tentang sokongan kuat terhadap Israel, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh melawan Israel selain enggan mengiktirafnya, tetapi menyatakan Kuala Lumpur mempunyai hak untuk menghalang kemasukan rakyat Israel ke negara ini.

“Apabila dunia mengutuk kita kerana perkara ini, kita berhak untuk mengatakan dunia kini bersikap hipokrit. Laungan mereka mengenai hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang hanyalah omong  kosong,” kata Perdana Menteri.

Kepada mereka yang terlupakan sejarah, Dr Mahathir mengingatkan mereka Israel wujud dari sekeping tanah Palestin tanpa sebarang referendum atau pungutan suara diadakan, dengan rakyat Palestin dihalau dari bumi Palestin tanpa sebarang pampasan untuk tanah dan rumah yang dirampas oleh Israel.

Katanya, Israel kemudiannya merampas lebih banyak tanah Palestin supaya Israel menjadi lebih besar, membina lebih banyak penempatan di bumi Palestin tanpa persetujuan negara Palestin.

"Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin" - Tun Mahathir 5
Pemuda Palestin membaling batu ke arah polis Israel semasa pertempuran di Baitulmuqaddis Timur. (Foto: Times of Israel)

“Apabila rakyat Palestin menentang dan melemparkan batu ke arah kereta kebal dan kereta perisai Israel, askar Israel menembak menggunakan peluru hidup terhadap anak-anak Palestin dan menangkap mereka. Mereka ditahan bertahun-tahun tanpa dibicarakan,” katanya.

Dr Mahathir merujuk kepada sekatan secara haram terhadap Gaza, tetapi tidak ada negara yang mengutuk Israel kerana melanggar undang-undang dan tatasusila antarabangsa.

“Kini Israel isytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara mereka. Apabila rakyat Palestin menampar tentera Israel, mereka ditembak mati dan ramai yang ditahan,” katanya sambil menambah rakyat Palestin tidak boleh melawat saudara mereka tanpa terlepas daripada pemeriksaan yang memalukan di pelbagai pusat pemeriksaan yang dibina Israel.

Apabila orang Palestin melepaskan roket yang tidak berkesan ke arah Israel, beliau berkata, Israel akan menggugurkan bom dan menembak peluru berpandu ke arah bandar-bandar dan perkampungan Palestin, menghancurkan sekolah dan hospital serta membunuh dan mencacatkan pesakit dan kanak-kanak.

Katanya, beribu-ribu rakyat Palestin telah dibunuh atau cedera akibat tindakan ketenteraan.

"Israel Wujud Dari Sekeping Tanah Palestin" - Tun Mahathir 6
Penduduk Palestin melarikan diri selepas tentera Israel melepaskan gas ketika pertempuran di sempadan Semenanjung Gaza, di utara Jabalia, pada Mei lalu. (Foto: AFP)

Semua ini, katanya, adalah jawapan kenapa Malaysia tidak mengiktiraf Israel, tidak mempunyai hubungan diplomatik, tidak membenarkan rakyat Malaysia melawat Israel ataupun sebaliknya.

“Inilah satu-satunya negara di dunia yang dilayan Malaysia seperti ini,” kata Dr Mahathir. – Bernama

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker