ISLAM

Inilah Hukum Solat Dua Imam di R&R Menurut Mufti WP

Kebanyakan daripada kita sering bermusafir sama ada untuk tuntutan kerja, pulang ke kampung untuk melawat ibu bapa tercinta atau pergi bercuti di mana-mana dengan keluarga tersayang.

Malah, soal untuk mencari tempat bagi mendirikan solat juga bukan sesuatu masalah kerana masjid-masjid begitu mudah dijumpai, selain di hentian Rehat dan Rawat (R&R) juga turut menyediakan kemudahan surau yang selesa.

Ini kerana, meskipun kita dalam keadaan bermusafir, tanggungjawab menunaikan solat fardhu perlu ditunaikan kerana ia merupakan kewajipan ke atas semua umat Islam.

Inilah Hukum Solat Dua Imam di R&R Menurut Mufti WP 2

Menyentuh mengenai mendirikan solat di surau R&R, adalah menjadi situasi biasa kita melihat ada sesetengah musafir yang singgah terutamanya dalam kelompok ramai menunaikan solat secara berjemaah dan dalam masa yang sama juga sudah ada kumpulan lain yang melakukan solat secara berjemaah.

Justeru, timbul persoalan bolehkah solat dilakukan oleh beberapa jemaah dengan beberapa imam yang berbeza di surau-surau R&R.

Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, adalah dibolehkan untuk berlakunya beberapa jemaah solat dalam keadaan serentak di surau-surau R&R secara umumnya.

“Ini kerana surau-surau di R&R tidak mempunyai imam rasmi dan tidak mempunyai ciri-ciri masjid yang rasmi.

“Meskipun begitu, bagi mendapat fadhilat besar solat berjamaah, disamping usaha untuk menzahirkan syiar dan kesatuan umat Islam, serta mengelakkan berlakunya kekeliruan apabila banyaknya imam dalam masa yang serentak, adalah lebih utama untuk dilakukan solat secara berjamaah dengan satu imam serta mengikuti tatacara solat yang telah kami sebutkan di atas,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, jelas Zulkifli ada sesetengah umat Islam yang masih keliru dengan beberapa permasalahan hukum yang berkait rapat dengan isu jamak dan qasar.

“Sebagai contohnya, sebahagian mereka yang dalam keadaan bermusafir memilih untuk mendirikan solat jemaah yang baharu sedangkan di dalam surau tersebut pada ketika itu telah ada solat berjamaah.

“Ini kerana mereka menyangkakan bahawa jemaah yang sedang berlangsung mendirikan solat secara tamam (penuh) sedangkan mereka ingin melakukan solat jamak dan qasar,” katanya.

Tambahnya lagi, isu berkenaan tidak sepatutnya timbul pada asalnya. Ini kerana, tatacara dalam melaksanakan solat dalam keadaan sebegini akan menjadi mudah sekiranya kita mengikuti panduan ditetapkan.

“Sekiranya seseorang yang bermusafir itu masuk ke dalam surau R&R dan mendapati terdapatnya solat berjamaah yang sedang didirikan, hendaklah dia mengikuti solat berjamaah tersebut meskipun dia sedang bermusafi.

“Sekiranya dia dalam keadaan muwafiq iaitu mengikuti solat berjamaah dari awal solat, dan imam melakukan solat secara tamam (solat penuh empat rakaat), maka hendaklah dia turut mengikut imam sehingga selesai solat,”katanya.

Bagaimanapun Zulkifli menegaskan bahawa solat berjamaah adalah lebih utama untuk didirikan dengan satu imam sahaja dalam satu-satu masa. Ia bagi menzahirkan syiar Islam iaitu umat Islam mampu bersatu dalam menunaikan solat berjamaah.

“Wujudnya banyak imam dalam satu masa yang sama serta di tempat yang sama, adalah gambaran luaran terhadap tiadanya kesatuan umat Islam dalam dada-dada mereka,”katanya.

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker