ISLAM

Doa Untuk Ibu Bapa yang Telah Meninggal Dunia

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-268: DOA UNTUK IBUBAPA YANG TELAH MENINGGAL
Soalan: Apakah terdapat doa-doa yang thabit daripada Nabi SAW tentang doa kepada ibubapa yang telah meninggal dunia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap insan yang bernyawa pasti akan menemui ajal dan ajal itu tidak akan cepat atau lambat walau sesaat pun. Apabila terpisahnya roh daripada jasad maka ia juga sebenarnya telah terpisah daripada alam dunia. Dengan itu, segala perkara atau amalannya ketika di dunia akan terputus daripadanya melainkan tiga perkara berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Imam Muslim:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.” [Riwayat Muslim (1631)]

Imam al-Nawawi mengatakan para ulama memahami hadith ini dengan mengatakan bahawa amalan si mati akan terputus dengan kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya melainkan pada tiga perkara ini. [Lihat: al-Minhaj: 85/11]

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat beberapa doa yang boleh diamalkan oleh seseorang anak dalam mendoakan arwah ibu dan bapanya. Di sini, kami nukilkan beberapa doa yang diajar oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran:

Firman Allah SWT :

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya penghitungan amal serta pembalasan.”

Firman Allah SWT:

“Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua ibu bapaku.”

Tambahan pula, di dalam berdoa terdapat keluasan selagimana doa atau makna doa itu adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama maka ia dibenarkan di samping tidak menafikan bahawa doa yang terbaik adalah doa yang terdapat di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW yang sahih. Di samping itu juga, doa yang terbaik juga adalah doa yang difahami dan tidak semestinya di dalam bahasa arab. Ini kerana, jika seseorang itu berdoa dengan apa yang difahami maka itu akan menghadirkan hatinya ketika berdoa.

Penutup

Kesimpulannya, seseorang itu boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun kepada ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia dengan syarat doa tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang bertentangan dengan agama serta makna doa itu baik. Selain itu juga, seseorang itu perlulah meraikan adab-adab ketika berdoa agar ia boleh mendatangkan kekhusyukan ketika berdoa. Semoga roh ibu dan bapa yang telah pergi ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman serta dimasukkan ke dalam syurga Firdaus. Amin.

Wallahua’lam

Tags

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker