Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana Dapat Pindah Sekolah Berdekatan Rumah

JABATAN Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan menempatkan Ustazah Nur Farhana Ibrahim, 27, di sekolah berhampiran rumahnya setelah proses pertukarannya dari JPN Pulau Pinang selesai.

Pengarah JPN Kedah Abd Aziz Selaiman berkata guru agama itu juga perlu melalui proses pertukaran yang ditetapkan seperti biasa dan diuruskan oleh JPN Pulau Pinang.

“Saya difahamkan Pengarah JPN Pulau Pinang baru saja pulang dari Putrajaya bagi membincangkan hal berkaitan ustazah tersebut termasuklah telah berhubung dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang melibatkan penyesuaian perkhidmatan beliau.

“Sekarang kita hanya menunggu semua proses di JPN Pulau Pinang selesai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengetua dan Guru Besar di Dewan Sri Mentaloon, Alor Setar pada Khamis.

Kisah mengenai Nur Farhana menjadi tumpuan setelah dia didapati hilang dan tidak pulang ke rumahnya seperti biasa di Alor Senibong, Langgar di sini pada petang 14 Januari lepas.

Wanita itu pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dan dipercayai mengalami kemurungan berikutan terpaksa berulang-alik setiap hari dari Langgar (Alor Setar) ke Balik Pulau (Pulau Pinang) untuk mengajar di sebuah sekolah di sana.

Nur Farhana kemudiannya ditemukan selamat di Kuala Kangsar, Perak pada 17 Januari lepas.

Sementara itu, Abd Aziz memberitahu setiap tahun JPN Kedah memproses ribuan permohonan pertukaran guru dari luar Kedah untuk mengajar di negeri ini.

Katanya sesuatu pertukaran perlu mengambil kira keperluan pelajar bagi memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran.

“Proses pertukaran guru ini sangat dinamik dan sentiasa berterusan, sehingga sekarang pun saya masih menandatangani permohonan berkaitan dan ada guru yang sudah diluluskan berpindah ke sini tapi dia batalkan pula,” katanya yang turut memberitahu seramai 36,000 guru sedang berkhidmat di negeri ini. – BERNAMA